Thursday 8 August 2024

PART 4 - Pengalaman Mengandung (Trimester 2)

Hai dan assalamualaikum semua. Sihat ke tu? Moga baik-baik sahaja buat si pembaca yang setia yang sudi menziarahi blog kecil ku ini.

Hari ni aku nak cerita pasal pengalaman mengandung sepanjang Trimester ke-2. Alhamdulillah, sehingga ke hari yang terakhir Allah permudahkan perjalanan aku waktu Trimester 1 dulu. Walhal macam-macam benda berlaku dekat aku waktu tu sebagai seorang wanita yang pertama kali rasa ada semua ini. Korang kalau nak tahu apa yang terjadi waktu tu, boleh baca dekat entri aku PART 1- Pengalaman Mengandung (Trimester 1). Waktu tu aku rasa badan aku letih, penat yang teramat-amat sangat tapi syukurlah ianya hanya berlanjutan sampai minggu yang ke-17 je.

Masuk je trimester ke-2 iaitu minggu ke 18 aku rasa macam dah ada tenaga balik. Aku rasa macam badan aku berubah 360 darjah bila aku dah mula rasa simptom macam bawah ni. Serius rasa berbeza sangat-sangat. Mungkin setiap ibu yang hamil tu tak sama pengalaman dia tapi aku saje nak kongsikan kat sini. Buat kenang-kenangan dan rujukan kita bersama.. ahh gitu.


Perubahan Badan Bila Trimester 2


1) MUKA JADI GLOWING CANTIK

Kulit muka tiba-tiba jadi licin shining bersih, kelembapan yang cukup tak payah dah nak pakai make up apa semua, jadi lebih sihat dan glowing macam orang korea. Tak de dah segala mak nenek jerawat yang tumbuh dekat muka ini. Terasa macam lebih awet muda dan terserlah keseriannya. Orang kata ini namanya glow-prenancy. Kecantikan yang hanya ibu-ibu mengandung sahaja yang dapat miliki. Mungkin sebab perubahan hormon yang berlaku dalam badan dan juga vitamin yang kita makan . Tapi tetap kena selalu cuci muka dengan air bersih masa ambil wuduk sebab muka kita berminyak-minyak dengan banyakknya.


2) SELERA MAKAN BERTAMBAH

Dulu berat badan sempat turun dalam 1-2 kg masa zaman loya nak muntah semua tu sebab tak de selera makan untuk 3 bulan yang pertama. Sampai nasi berlauk pun 2-3 suap je boleh telan. Lepas tu terus lari pergi tandas sebab nak muntah. Habis semua isi perut terkeluar. Boleh telan buah tembikai je time tu. Rasa tak sedap badan langsung sebab selalu pening kepala. Sekarang ni jadi makin cepat lapar pula dan langsung tak muntah bila makan apa-apa kecuali benda yang kita alah (allergic). Macam aku tak boleh langsung minum air susu or makan yorgurt dan makan kismis. Rasanya selepas 2 jam makan pun dah mula lapar balik. Tu yang asyik nak mengunyah macam-macam. Dah try minum air masak banyak-banyak pun masih lapar lagi. Yang ini memang kena kawal sebab makin lama berat jadi makin laju bertambah dengan jayanya. Terlebih makan.


3) BERAT BADAN NAIK TINGGI

Berat aku naik sampai 7 kg waktu ni dalam masa 27 minggu...huhuhu. Sepatutnya setiap minggu cuma boleh naik kurang daripada 0.5 kg je. Kalau terlebih berat tu maknanya kena kawal pemakanan yang lebih sihat. Nasihat nurse dan Doktor dekat Klinik Kesihatan (KK) kalau terlebih berat tu bahaya sebab risau baby jadi besar dalam perut sebelum usia dia. Dan yang paling tak best kena pergi dekat KK tu tiap-tiap hari untuk kawal dan perhatikan berat kita. (Selalunya memang super duper lama nak tunggu turn kita dipanggil dan selesai segala urusan dekat KK lagi-lagi bila kena jumpa Dr) maka tahap kesabaran kita akan teruji waktu ni. Sebab dah hari-hari timbang berat mana tak diri mummys tertekan kan? Walaupun pada hakikatnya ada hari berat naik dan turun tapi tulaaa... tetap berat naik sebab kurang jaga pemakanan yang seimbang. Kena ikut portion suku-suku separuh (karbohidrat suku, protein suku dan serat sayur/buah separuh) baru la tak naik berat. Lagi satu masalah ibu mengandung ni selalunya lapar.. lapar... dan laparrr... tu sebab lah asyik nak makan je jadinya. Kena tukarkan snack mengunyah tu jadi lebih sihat contohnya bila lapar minum air cukupkan 8 gelas sehari dan makan buah-buahan. Benda ni sesungguhnya boleh bantu kita nak membuang air besar ataupun kita panggil teknik untuk kurangkan masalah sembelit (susah nak membuang). Macam aku pun kadang susah nak membuang sebab kurang makan sayur. Jadi memang kena tukar kebiasaan kita. Nanti aku citer pasal bab pemakanan ni dekat entri lain. Pastu kena pastikan makan 3 kali sehari dan jangan skip makan contohnya waktu pagi, tengahari dan malam supaya badan dapat bekalan makanan yang cukup untuk ibu dan baby dalam perut.


4) MUNCUL BABYBUM DEKAT PERUT

Babybum mula muncul masa minggu ke-18 (bulan ke-6) macam tu. Babybum tu maksudnya dekat perut kita tu dah mula membesar macam belon, sikit demi sikit dari hari ke hari. Masa awal-awal mengandung sangat normal ya jika tak nampak apa-apa sebab baby masih kecil comel lagi. Jadi jangan lah risau kalau ada orang cakap kita ni tak nampak macam mengandung pun ataupun kita risau saiz baby kecik. Hakikatnya baby akan mula membesar dengan sihat sesuai pada waktunya mummys. :) Boleh dah mula sediakan baju dan seluar yang selesa dan longgar sebab nak jaga aliran darah dalam badan kita. Ibu-ibu yang beragama islam wajib pakai longgar supaya tak nampak babybum ni. Sebab Babybum ni pun aurat perut kita yang mesti dijaga. Baby mesti happy dan sayang kalau kita lindungi dia dari awal. Banyakkan baju loose macam korea tu pun dah cantik sangat dah. Stop dulu pakai baju waktu anak dara dulu sebab memang dah tak muat dah. Macam aku baju kurung semuanya dah tak boleh pakai sebab dah sendat dekat area pinggang. Mummys boleh try asingkan baju-baju tu ataupun kalau ada budget sikit beli lah sehelai dua baju yang besar untuk kita pakai. Yang boleh tutup bentuk perut, pinggul dan peha kita tu pun lebih baik. Selain itu, strechmark (parut pada badan tanda rengangan),ruam, jerawat dan kulit kering pun boleh muncul waktu ni jadi disyorkan untuk sapu dengan minyak zaitun dekat area perut kita supaya kurang rasa sakit ataupun kering. Jenama apa-apa pun boleh yang penting mesti halal dan toyyiban. Boleh jimat sikit daripada beli krim hilang parut mahal-mahal. Sebab selalunya parut dekat badan ni dia tak sepenuhnya hilang tapi kita boleh kurangkan sikit kesannya.


5) SESAK NAFAS DAN PEDIH ULU HATI

Rasa sesak nafas ni selalu berlaku lagi-lagi bila tidur menelentang lama sangat. Kadang tu waktu duduk biasa pun boleh jadi sesak nafas. Semua ni berlaku sebab kita punya organ dalaman contohnya paru-paru, pundi kecing, usus besar, usus kecil dan lain-lain dah mula terhimpit dan ruang dalam badan dan jadi makin sempit sebab rahim kita dah mula membesar untuk si kecil kita. Selain itu, kena berlatih teknik penafasan ibu mengandung dan cuba untuk tenangkan fikiran. Kena selalu buat senaman yoga pranatal setiap hari supaya dapat kurangkan rasa sakit otot dan tulang kita. Bila dah semua organ dalaman terhimpit kita akan senang dapat pedih ulu hati lagi-lagi bila makan makanan yang pedas. Jadi elakkan ataupun makan sikit je kalau dah craving sangat benda yang hot & spicy.


6) SAKIT KAKI DAN TULANG BELAKANG

Kena tidur mengiring ke kiri sahaja supaya kadar oksigen yang mengalir dalam darah ibu mengandung dapat sepenuhnya kepada janin. Jangan tidur terlentang ataupun mengiring ke kanan sebab boleh menyebabkan darah tu tak dapat bergerak dengan baik dan boleh jadi tekanan darah rendah. Tambahan lagi, masa nak tidur tu mummys kena biasakan diri untuk letak bantal dekat celah kaki (gaya macam peluk bantal busuk ><) dan letak bantal dekat hujung kaki (dari betis hingga tumit kaki) supaya kedudukan kaki jadi tinggi sikit. Benda ni penting untuk bantu kurangkan rasa kekejangan tiap kali bangun tidur. Aku ada jumpa dekat youtube satu yoga pranatal untuk mummys semua cuba. InsyaAllah boleh kurangkan rasa sakit-sakit badan ni bila kita selalu buat tiap-tiap hari. Boleh cuba klik sini ( https://youtu.be/Uirgb7-Qy7o?si=RfLCYIfN5TEcXar8 ). Boleh join buat sambil-sambil baring main fon tu boleh fit kan badan. Buat sikit-sikit dulu yang mana mudah supaya badan kita terbiasa dekat gerakan yoga tu. 


7) GERAKAN BAYI LEBIH JELAS

Bila gerakan bayi dah makin jelas berbanding dulu, kita akan mula dapat suntikan kancing gigi secara percuma dekat Klinik Kesihatan. Waktu terima tu aku dah masuk minggu ke- 26 camtu. (Setiap KK mungkin lain tempoh terima suntikan) Dekat klinik biasanya kita akan terima suntikan sebanyak 2 kali. (Jaraknya setelah 1 bulan dos pertama dan kedua). Mummys kena juga check kesihatan gigi dekat sana samada masa awal trimester ataupun pertengahan bergantung kepada arahan pihak KK. Gerakan bayi yang dulunya rasa macan ada rama-rama bersayap dalam perut sekarang dah beraksi macam-macam gaya contohnya menendang, berpusing, merenggangkan badan, menumbuk dan lain-lain. Semuanya tujuan untuk si kecil kita berlatih kuatkan otot dan tulang dia. Jadi jangan terkejut pula bila kadang-kadang dia mula himpit pundi kencing kita menyebabkan kita asyik nak keluar masuk bilik air. Ataupun masa tidur malam tula dia paling aktif bersukan. Sebab lama-lama kita akan terbiasa dengan aktiviti dia. Yang paling penting kalau baby kita kurang aktif cuba jaga pemakanan sebaik mungkin. Elakkan kafein macam coklat, kopi dan teh. Elakkan juga makanan proses macam daging burger, sosej, kentang frozen dan lain-lain. Usahakan makan makanan yang semulajadi dan masak sendiri itu lebih baik untuk mummys dan si kecil. Jaga waktu makan dan jangan skip.


8) BADAN RASA PANAS DAN BERPELUH 

Kena pakai baju yang jenis serap peluh dan sejuk contohnya fabrik kapas. Sebab rasa panas bila memgandung ni rasa lain macam sikit. Aliran darah dalam badan ibu mengandung akan jadi lebih laju dan saluran darahnya jadi lebih besar sebab nak angkut semua oksigen kepada ibu dan baby. Kalau kita perasan urat-urat dekat badan ibu pun akan jelas kelihatan. Kadar metabolisma badan jadi lebih pantas menyebabkan si ibu jadi cepat lapar tapi tak bermakna kita boleh makan banyak-banyak ya.. kurangkan makan makanan yang pedas ataupun yang boleh menambahkan lagi tahap kepanasan badan kita. Elakkan duduk bawah matahari terlalu lama sebab takut kena serang dengan strok haba. Waktu macam ni eloklah minum air masak secukupnya supaya kekal dihidrasi. 


9) SUSAH NAK BUANG AIR BESAR (BAB)

Bab ni dah dijelaskan dekat point ke-3. Memang kena cukupkan minum air masak dan ambil serat sayur dan buah-buahan setiap hari supaya tak de kena sembelit ni. Kalau tak memang lama betul dia nak keluar. Kuantiti air yang diperlukan bergantung kepada jumlah berat basan kita. Contohnya 25 kg untuk 1 liter air. Kalau berat kita 50 kg, makan kita perlukan 2 liter air setiap hari. 1 gelas air pula bersamaan dengan 250 ml air. Dia perlukan 8 gelas = 2 liter air. Bahagikan tempoh masa untuk minum tu.  Bawah ni contoh untuk yang berat badan 50 kg tadi. 

1 gelas = Bangun pagi

1 gelas =  Sarapan pagi

1 gelas = Snack pagi

1 gelas = Makan tengahari

1 gelas=  Snack petang

1 gelas= Makan malam

1 gelas = Snack malam

1 gelas = Sebelum tidur

JUMLAH KESELURUHAN= 8 gelas per hari


Jadi cuba buat macam atas ni setiap hari dengan menggunakan botol air besar yang 1.5 liter atau 2.0 liter. Bawalah kemana sahaja kita berada. Macam aku gi makan kat luar atau jalan-jalan punbawa botol air supaya tak terlupa dan kekal istiqamah minum air masak ni. Sama-sama kita jaga kesihatan kita ya. Bila dah senang nak membuang, segala benda toksik dalam darah pun akan terkeluar sama. Online hug :)


10) KERAP BUANG AIR KECIL (KENCING)

Bila dah banyak minum air kita akan rajin exercise ke tandas. Baguslah kan? Pundi kencing pun rasa macam penuh bila terhimpit dengan si kecil ni. Kadang akan rasa macam kencing tak lawas ataupun terkencet sikit lagi-lagi bila batuk, bersin ataupun ketawa besar sangat  jadi mummys kalau alami benda ni, bawalah bersabar dan terus jagakan kebersihan kita. Kena selalu periksa seluar dalam kita takut ada kencing waktu nak solat ataupun pakai je pantiliners boleh tukar je yang baru.


11) KAKI MEMBENGKAK BILA BERDIRI LAMA

Kaki, jari kaki, betis dan peha jadi macam mengembang besar. Nak pijak lantai atau kasut pun rasa sakit sikit  Waktu nak bangun dari tidur pun masih belum surut lagi bengkak dia. Siap nampak ada garisan-garisan dekat kulit yang lambat nak hilang lepas kaki tu terhimpit waktu duduk dan tidur. Kalau aku dulu mula perasan ada bengkak ni masa berdiri lama buat kerja-kerja rumah contohnya masak dan kemas rumah. Lepas tu dia jadi makin extreem sakitnya lepas pergi berjalan lama-lama tak duduk. Mungkin tiap orang ada yang okay bila berjalan dan ada yang tak okay perlukan rehat. Aku tengok bengkak kaki ni terjadi disebabkan oleh darah yang dekat kaki tak berjaya untuk dialirkan kembali kepada jantung tu sebab segala cecair berkumpul dekat situ. Jadi aku pun hari-hari la letak bantal bawah kaki bagi tinggi sikit masa duduk supaya darah tu berfungsi balik. Kita ikhtiarkan supaya ia sembuh semula.


12) TEKANAN DARAH RENDAH

Aku hampir setiap kali checkup dekat KK je mesti tekanan darah rendah. Orang lain semua normal je tekanan darah dia ataupun sekurang-kurangnya turun sikit bacaan tekanan darah dia. Pernah tanya nurse normal ke tekanan macam ni. Dia kata jarang jumpa patient macam ni sampaikam dalam sebulan tu aku pernah 5 kali berturut-turut datang ke KK semata-mata nak check bacaan darah. Sampai waktu cuti umum dan hari raya pun kena datang KK. Dan guest what tekanan darah masih lagi rendah malah makin menurun. Macam-macam perasaan aku dah rasa, kadang rasa segan sebab asyik muka kita je berhari-hari nak test air kencing semua. Aku dah cuba kawal segala benda termaksuklah cuba makan benda-benda yang masin untuk naikkan tekanan darah dan makan makanan yang berwarna merah banyak-banyak tapi benda ni langsung tak berkesan or bertahan lama. Pernah aku makan lauk daging, dan yes naik sikit bacaannya dan kemudian dia turun balik. Tak dapat nak tahan lama..huhu. aku tak tahu caner nak naikkan bacaan tu sebab benda ni berlaku waktu tengah mengandung. Dah pernah kena cucuk air garam pastu kena ambil darah sebanyak 1 tabung uji saiz kecil hantar pergi makmal untuk check kesihatan buah pinggang, tiriod dan lain-lain. Keputusannya semua okay kecuali tekanan darah. Diri ini dah redho dah dengan segala apa yang berlaku. Aku cuma ikhtiarkan je elakkan benda kafien macam coklat, teh dan kopi, jaga waktu tidur, makan banyak sayur, minum banyak air, berjalan dan bersenam dan yang paling pemting jaga emosi diri. Mudah-mudahan ada penambahbaikkan.


13) ALAHAN MAKANAN BEREMPAH

Makanan berempah ni kadang buat kita jadi makin mual, pedih ulu hati dan nak muntah sebab dia ada banyak rasa. Aroma dia menusuk kalbu tapi bagi ibu mengandung bergantung dengan diri dia samaada boleh terima atau pun tak hidung dan tekaknya. Macam aku memang tak boleh terima bau kari-kari (gulai). Rasa pening kepala dan kuah-kuah mamak tu pun aku cuba elakkan daripada masuk dalam menu utama. Elakkan juga makanan yang berangin macam nangka madu, urat mee laksa yang guna tepung ubi, ketupat daun palas yang diperbuat daripada beras pulut dan benda yang memanaskan badan macam durian ataupun cili-cili yang over pedassnya.

Rasanya itu sahaja pengalaman aku sepanjang trimeter ke 2 ni. Tiap-tiap ibu yang mengandung tu ada benda yang dia idamkan dan elakkan untuk kemaslahatan bayi dalam perut. Apa-apa  pun moga kisah ini bermanfaat buat semua. :)

No comments:

Post a Comment

Perumpamaan Dunia

Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan (dan berlayar) di lautan. Sehingga ketika kamu berada di dalam kapal, dan melunc...