Saturday 20 July 2019

Sedih Assignment Kena Reject

Assalamualaikum w.b.t

Pernah tak korang rasa macam mana perasaan bila assignment korang buat tu kena reject? Mestilah sedihkan. Down. Rasa macam nak koyak, buang je kertas tu.

Sabar-sabar meh, submit kat sini je. At least ada juga yang baca..

* WARNING!!!!Sediakan popcorn dan tisu


CONTOH SOALAN

KES 3
Kekosongan hidup Dollah ditemani dengan gelak tawa dan gurau senda rakan-rakannya, Samad, Ani dan Gusdar. Suatu hari Dollah dikejutkan dengan kunjungan seorang gadis, Fatihah, anaknya yang ditinggalkan 17 tahun lalu.
Keluarga isterinya yang mewah menentang cinta mereka dan tidak mahu membiarkan anak mereka hidup susah dengan pemandu lori.
Akhirnya Dollah melepaskan isterinya dan Fatihah yang ketika itu masih bayi kepada keluarga isterinya bagi memastikan kehidupan dua beranak itu terjamin. Dollah tekejut apabila Fatihah memberitahu ibunya telah meninggal dunia ketika usia Fatihah 5 tahun. Dalam keadaan sayu, Dollah bertanya kepada Fatihah akan tujuan sebenar Fatihah datang berjumpa dengannya.
Fatihah memberitahu dia ingin menghabiskan cuti sekolah selama sebulan untuk mengenali ayahnya itu. Dollah berasa segan untuk menyambut kehadiran Fatihah kerana keadaan rumahnya yang usang dan berselerak sedangkan Fatihah sudah biasa hidup mewah bersama Tok Mak. Kehidupan menjadi ceria dengan kehadiran Fatihah namun saat-saat bahagia tidak berpanjangan kerana Dollah akan menemui ajalnya.
Sebagai PRS anda dikehendaki membantu Fatihah untuk membuka ruang menyelesaikan masalahnya. Nyatakan langkah-langkah yang perlu anda lakukan sebagai seorang PRS. Anda dikehendaki menganalisis kes ini dan menulis laporan kepada ketua anda. Laporan anda hendaklah merangkumi Penceritaan semula, pandangan  dan pendapat anda, jenis kaunseling yang diperlukan oleh Fatihah.






Penceritaan Semula
Fatihah merupakan gadis remaja yang berusia 17 tahun telah berjaya tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Maka bermula percutiannya yang panjang selama beberapa bulan sambil menunggu keputusan SPM nya diumumkan. Saat itu pasti mendebarkan para pelajar sehingga ada yang menitiskan air mata kegembiraan atau penyesalan terhadap keputusan masing-masing. Namun usaha dan tawakal pasti akan berbuah hasil kerana ketentuan yang Maha Pencipta tidak pernah salah terhadap setiap makhluknya yang hidup di muka bumi ini. Ditambahi pula dengan doa oleh kedua ibu bapa yang mengingin anaknya berjaya di dunia dan diakhirat pasti dimakbul oleh Allah s.w.t. Walaubagaimana pun, Fatihah tahu detik-detik seperti itu pasti akan diraikan bersama orang tua masing-masing  dan semua itu membuatkan dirinya rasa cemburu terhadap rakan-rakan seperjuangan yang lain. Sudah lama Fatihah meninggalkan hasrat untuk bertanya soalan siapakah bapa kandungannya kepada datuknya, Tok Mak.Tidak pernah dia berjumpa dengan seseorang yang layak dipanggil “ayah” itu dalam seumur hidupnya.  Terbit rasa rindu dihati ingin melihat raut wajah bapanya yang pasti kini telah menelan usia tua itu membuak-buak dalam dirinya. Namun setiap kali dia ingin berbuat demikian pasti datuk kesayangan itu akan mengubah topik perbincangan. Fatihah tidak mampu membantah kata-kata datuknya kerana perasaan hormat seorang cucu kepada datuknya yang tua. Dikuatiri andai dipaksa sesuatu yang dibencinya akan membawa padah kerana datuknya itu penghidap penyakit darah tinggi.


             Ibu Fatihah telah lama meninggal dunia 12 tahun yang lepas disebabkan oleh kemalangan maut yang berlaku akibat kecuaian pemandu lain yang tidak bertanggungjawab. Pada ketika itu, ibu Fatihah baru pulang dari Tanah Suci Mekah kerana telah usai menunaikan ibadah Haji di Tanah Haram. Kereta yang dipandu oleh bapa saudaranya terbabas dengan teruk sewaktu keluar dari Lapangan Antarabangsa (KLIA) itu ke jalan besar. Pada hari itulah, Fatihah kehilangan 3 orang yang amat disayanginya, ibu, nenek dan bapa saudaranya. Tok Mak tidak ikut menunaikan rukun islam yang kelima itu kerana kesibukan dengan urusan syarikatnya yang seakan-akan tiada penghujung. Tidak terfikirkah dia bahawa dunia ini hanya sementara? Kadang-kadang Fatihah berharap jika ibunya diberi kesempatan untuk bernafas sesaat pasti dia akan menjawab persoalan itu. Selama 17 tahun Fatihah tinggal dengan penuh kemewahan di rumah agam yang sebesar padang bola sepak itu bersama Tok Mak. Mintalah apa sahaja pasti akan ditunaikan oleh datuknya itu. Walaupun ditemani oleh orang-orang gaji yang berkhidmat menyediakan keperluan di situ termasuklah makanan dan kebersihan, rumah itu masih kelihatan sunyi.
Suatu hari ketika Fatihah ingin mencari buku di bilik bacaan milik keluarganya, dia tidak sengaja menolak buku yang paling atas sekali di rak yang setinggi 3 meter itu. Kedengaran bunyinya menghentam karpet lantai merah yang hanya bergema di dalam bilik tersebut. Mata Fatihah terpejam rapat kerana lain yang hendak diambil lain pula yang keluar. Habis terjatuh segala jenis buku yang agak lama itu. Nasib baik benda itu tidak menimpa dirinya, kalau tidak pasti kepalanya sudah lama lebam dek bucu buku yang tajam dan tebal itu. Fatihah mengurut dadanya akibat terkejut dan cuba menenangkan dirinya. Perhatiannya mula beralih kepada buku-buku yang malang tadi. Dia mula mencangkung dan perlahan-lahan dia mengutip kertas-kertas yang terkeluar dari isi kandungan buku yang terkoyak. Sedang dia cuba berusaha memasukkan semula kertas itu kedalam buku yang asal, tiba-tiba matanya menangkap satu keping foto yang agak lapuk terselit pada halaman pertama. Terdapat dua orang muda yang sedang berdiri berlatar belakangkan rumah kampung. Seorang wanita yang berpakaian baju kurung melayu dan seorang lelaki yang lebih tinggi berpakaian baju melayu. Mereka berdua kelihatan sedang tersenyum manis memandang ke arah kamera. Sehinggakan sesiapa yang melihat pasti merasai apa itu erti kebahagiaan. Baru Fatihah sedari bahawa terdapat tulisan berangkai dibelakang foto tersebut. Dia tatapi nama dan alamat tersebut dengan penuh minat.



Ikhlas,
Dolah Bin Kamaruddin & Sarimah Binti Kazim

Alamat:
Plot 5, Jalan Sergam 11, Kampung Seri Buloh, Simpang Renggam, Johor Bahru.



              Sarimah? Itu memang nama ibunya. Tetapi siapakah gerangan lelaki yang bernama Dollah itu? Fatihah begitu tertarik ingin mengetahui lebih lanjut tentang lelaki tersebut kerana mereka nampak mesra dalam gambar itu. Wajah ibunya sewaktu muda sangat ayu seindah budi bahasanya cocok dengan lelaki yang berdiri disebelah ibunya kelihatan segak. Adakah itu bapa kandungnya? Buku lama yang dipegang oleh Fatihah tadi juga rupanya ialah diari lama ibunya. Terus dilupakan tujuan asal untuk mencari buku yang tadi kerana perkara ini lebih penting dan kemungkinan besar, Fatihah berpeluang berjumpa dengan bapanya berpandukan kepada gambar ini.


          Ingin sahaja Fatihah memberitahu Tok Mak tentang hal ini namun bila difikirkan semula, Tok Mak pasti akan menghalang niatnya yang satu ini kerana ibunya ada menulis tentang perpisahan mereka berdua disebabkan oleh hubungan yang tidak direstui oleh keluarga. Tok Mak begitu benci sekali dengan bapanya yang miskin dan hanya bekerja sebagai pemandu lori. Baginya, semua itu tidak boleh memberikan kebahagian kepada ibunya yang sememangnya datang dari keluarga berada. Orang bandar dengan orang kampung tidak layak untuk bersatu. Tetapi atas dasar kasih sayang, ayahnya terpaksa memilih jalan yang sukar iaitu menuruti perintah Tok Mak. Dengan membawa sekali Fatihah yang masih bayi tinggal dengan keluarganya, rindu ibunya terhadap suami begitu mendalam. Dari tahun ke tahun, perasaan itu bercambah dengan kerelaan hatinya. Namun terpaksa dibiarkan kerana status seorang isteri sudah tiada lagi kerana telah terpisah lama dari sisi suami, kini dia hanya perlu berbakti kepada kedua orang tuanya. Bukan tidak pernah cuba untuk mencari semula suaminya, tetapi setiap kali dia berbuat demikian Tok Mak pasti akan mengugut untuk membunuh suaminya andai perintahnya dilanggar. Neneklah yang selalu menyokong pendirian anak perempuannya dan memujuk perasaannya  supaya banyak bersabar.Cinta Puan Sarimah terhadap suaminya tidak pernah terpadam sehinggu membawa dirinya ke Kota Suci Mekah. Dia berharap dapat berdoa dihadapan Kaabah untuk dipertemukan kembali.



              Manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya, mungkin takdir mereka untuk bertemu bukanlah di dunia tetapi di tempat yang abadi  bernama Syurga. Tanpa disedari telah habis buku itu dibaca oleh Fatihah, dan dia membuat keputusan untuk tidak memberitahu sesiapa dalam hal ini kecuali seorang, pemandu peribadi Fatihah yang boleh dipercayai, Pak Rahman. Fatihah memintanya untuk menghantar ke alamat yang tertulis dibelakang foto tersebut. Kereta mewah berwarna hitam itu terus meluncur laju kearah destinasi yang ditetapkan. Tibanya di tempat tersebut, Fatihah tidak dapat menjumpai rumah seperti di dalam gambar. Pasti rumah itu sudah diubah suai ataupun penghuni yang asal telah berpindah ke tempat lain dan dirobohkan untuk pembinaan infastruktur yang baru. Pak Rahman yang sudah keletihan meronda satu kampung meminta izin kepada Fatihah untuk singgah ke kedai warung yang berdekatan di situ. Fatihah bersetuju kerana perutnya yang tidak terisi sejak dari pagi tadi mula berbunyi.



             Fatihah dan Pak Rahman duduk dikerusi bersebelahan dengan dua orang lelaki yang berumur, mereka sedang asyik berborak sambal menghirup secawan kopi panas. Sambil menunggu makanan dan minuman yang mereka pesan itu tiba, Pak Rahman bertanya kepada Fatihah jika dia ingin terus mencari lagi lelaki bernama Dolah itu. Fatihah mengangguk lemah walaupun peluangnya kelihatan tipis dengan hanya satu bukti didalam tangan. Dia reda. Tiba-tiba pakcik disebelah Fatihah menyampuk perbualan mereka.


“Anak cari siapa tadi? Dollah ke?”

“Ya, pakcik kenal dia ke?”

“Apa pula tak kenal Pak Cik berdua ini kawan baik dia. Ini Pak Samad jiran Dollah. Pak cik pula Pak Gustar rakan sekerja dia. Dan itu, yang ambil pesanan kamu tadi itu, pemilik warung ini, Mak Cik Ani. Dia lagi kenal Si Dollah itu sebab selalu singgah warung sini.”, Sampuk pak cik yang berbangsa india itu dengan nada mesra dan bersemangat

“Siapa yang sebut nama aku tadi?”, pelayan yang bernama Mak Cik Ani muncul sambil meletakkan makanan yang dipesan oleh Fatihah dan Pak Rahman. Bau keenakan Roti Canai dan Tea Tarik mula menusuk ke dalam hidung pelanggan baru itu.


             Fatihah menunjuk kearah pak cik berdua itu. Ingatkan peperangan bakal meletus tapi rupanya ia sebaliknya, terus bersepah gelak dan tawa mereka. Usai habis menjamah makanan. Fatihah bertanya kepada dua orang pakcik yang masih belum beredar dari tadi. Dia inginkan kepastian adakah Dollah yang dimaksudkan itu ayahnya. Fatihah pun menunjukkan gambar tersebut dan mereka berdua terus berbalas pandangan.


             Fatihah berasa tidak sedap hati melihat reaksi pak cik itu. Adakah itu berita baik atau berita buruk? Yang pasti mereka berdua bersetuju untuk membawa dirinya ke alamat yang masih tidak dijumpai sehingga kini. Mereka menunggu motosikal. Kereta mewah milik keluarga Fatihah sekali lagi bergerak perlahan kerana kawasan kampung agak sempit dan kadang-kadang roda kereta terpaksa mengelak beberapa kawasan yang terdapat taik lembu atau kerbau yang tidak segan muncul dia atas jalan.


           Akhirnya tibalah di rumah yang agak pendalaman. Rumah yang sederhana besar dan diperbuat daripada kayu jadi yang usang. Pak Cik berdua itu meminta izin untuk mengundur diri kerana ada urusan lain. Fatihah pun keluar dari perut kereta dan melihat sekeliling sementara Pak Rahman menunggu dengan setia di dalam kereta. Gambar tadi cuba dibandingkan dengan yang berada di bebola matanya. Sama. Dia melangkah perlahan ke arah tangga kayu itu dan dengan sekali nafas mengucapkan salam. Lama Fatihah tunggu dan hampir tiga kali salamnya tidak disahut oleh sesiapa, Fatihah mula berasa sedih. mungkin pakcik-pakcik tadi tidak sampai hati ingin mengatakan yang ayahnya sudah tiada. Baru sahaja Fatihah pusing ke belakang, tiba-tiba ada seorang lelaki menegur dan kelibatnya betul-betul dihadapannya. Fatihah memandangnya tanpa berkelip.


“Waalaikumsalam, maaf anak Pak Cik baru balik dari kebun tak dengar pula ada orang bagi salam tadi.” kata pak cik itu sambil mengelap tangannya yang penuh dengan tanah ke baju lusuhnya.

“Ayah”

Air mata Fatihah meluncur laju.

Dollah terkejut dan terus mengangkat wajahnya apabila seorang gadis itu memanggil dirinya Ayah.

“F..fa..fatihah ke ini?”, tanya Dollah dengan teragak-agak.


           Anggukan di kepala menjadikan jawapan kepada pertanyaan ayahnya itu. Rasa sebak dalam diri Fatihah tak dapat dibendung lagi kerana tidak menyangka ayahnya masih dapat ingat akan namanya.

           Dollah terus terduduk ke atas tanah mengangkat tangan tanda bersyukur dipertemukan dengan anak kandungnya semula. Fatihah menyambut tangan ayahnya dengan penuh kasih dan salam. Fatihah mengajaknya untuk berbual dengan lebih lanjut di dalam rumah namun Dollah seakan-akan mengelak pula permintaan anaknya itu. Dia malu dengan keadaan rumahnya yang serba kekurangan. Fatihah pasti tak kan berasa selesa. Fatihah terus menggelengkan kepalanya tanda tidak mengapa.

           Dollah akhirnya mengalah dan menjemput anaknya masuk. Di dalamnya tiada kerusi, hanya tikar mengkuang yang menjadi alas kepada lantai kayu itu. Sedang Fatihah ingin mencari tempat duduk, Dollah meminta izin untuk menyediakan air namun dihalang oleh Fatihah. Bapanya tidak perlu bersusah demi dirinya. Dollah bertanyakan khabar berita kehidupan Fatihah selama ini. Fatihah mengucapkan syukur meskipun dia dilimpahi dengan kesenangan namun dirinya tidak pernah melupakan tuhan. Didikan daripada ustazah sekolah agamanya tentang islam tidak akan dilupakan kerana disitulah dia berubah menjadi seorang perempuan solehah. Tentang aurat dan batas pergaulan tetap dijaga dengan teguh meskipun ramai rakan-rakannya yang kadang-kala kecundang dari aspek ini. Semua itu hanyalah permainan dunia yang menentukan siapa pemenangnya ialah akhirat. Fatihah tidak pernah lengkang berdoa ke atas kesejahteraan kedua ibubapanya di dalam solatnya.

             Dollah bertanyakan soal keadaan isterinya, Sarimah. Dollah tekejut apabila Fatihah memberitahu ibunya telah meninggal dunia ketika usia Fatihah 5 tahun. Dalam keadaan sayu, Dollah bertanya kepada Fatihah akan tujuan sebenar Fatihah datang berjumpa dengannya. Fatihah memberitahu dia ingin menghabiskan cuti sekolah selama sebulan untuk mengenali ayahnya itu. Tidak sampai hati untuk menolak satu-satunya permintaan anak kesayangannya itu, Dollah membenarkan Fatihah untuk datang melawat dirinya bila-bila masa yang dia inginkan.

             Setelah 4 bulan berlalu, kehidupan menjadi ceria dengan kehadiran Fatihah namun saat-saat bahagia tidak berpanjangan kerana Dollah tiba-tiba dimasukkan ke dalam hospital kerana pengsan di subuh hari atas bantuan Pak Samad. Nasib baik jirannya Pak Samad datang melawat dan tersedar akan ketiadaan Dollah di rumahnya. Akhirnya janji untuk berjumpa terpaksa dibatalkan. Ada sesuatu yang penting yang ingin dibicarakan olehnya. Doktor memberitahu penyakit yang dialami oleh Dollah selama ini iaitu Hepatitis B. Penyakit yang disebabkan oleh kegagalan hati untuk berfungsi dengan baik akibat dari tabiat yang suka makan begitu banyak kerang. Dollah tahu akan risiko itu dan sengaja melambat-lambatkan rawatan selanjutnya kerana kekurangan wang untuk membeli ubat doktor. Jangka hayatnya sudah hendak sampai ke penghujungnya. Dollah meminta Pak Samad untuk merahsiakan hal ini dari pengatahuan Fatihah.

           Fatihah berhajat ingin ke rumah ayahnya itu untuk memasang langsir yang baru ditempah di butik terkenal. Di samping itu, banyak lagi barang-barang keperluan yang diperlukan oleh ayahnya itu turut diangkutnya sama. Harapannya agar ayahnya bakal gembira melihat perubahan rumah yang akan dinaiktaraf sebentar lagi. Baru sahaja dia ingin keluar dari pintu rumah agamnya, Tok Mak tiba-tiba memanggilnya supaya ke ruang tamu. Fatihah akur dengan arahan Tok mak.

“Tok Mak tak izinkan kamu keluar dari rumah ini hari ini”, tegas Tok Mak.

“Kenapa pula Tok Mak?”, Tanya Fatihah hairan.

“Kau jangan jumpa orang miskin itu lagi, faham!”, tengking Tok Mak.

             Rupanya-rupanya rahsia Fatihah telah terbongkar dari pengetahuan datuknya itu. Bukan angkara Pak Rahman yang baik hati itu tetapi disebabkan oleh pembantu peribadi Tok Mak yang mengekorinya secara rahsia sejak akhir-akhir ini. Ingin sahaja Fatimah lari dari rumah itu kerana kehendaknya dihalang. Bukankah selama ini Tok Mak sibuk dengan urusan pekerjaan dan tidak hirau akan dirinya? Adakah perasaan ini sama seperti apa yang dialami oleh ibunya suatu ketika dahulu? Jika ayahnya ada berbuat dosa tidak bolehkah dia ampunkan sahaja?

             Kedaan menjadi lebih keruh apabila Fatihah mendapat berita dari orang kampung dan lebih-lebih lagi Pak Samad, bahawa ayahnya menghidap penyakit yang tiada harapan untuk sembuh. Pak Samad berasa tidak wajar jika anak rakannya itu tidak mengetahui masalah Dollah yang sebenar. Dunianya seakan-akan terdiam. Fatihah ingin sekali berhajat menjemput Dollah ke sekolahnya bagi meraikan keputusan SPM yang bakal diumumkan minggu depan. Itulah hari yang bakal menjadi kenangan buat dirinya kerana pertama kali seorang “ayah” datang menemaninya ke sekolah.



********************************************* TAMAT *******************************************












Pandangan dan pendapat

Pada pandangan saya, sebagai seorang Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) saya tidak seharusnya terpengaruh dengan kisah sedihnya. Meskipun ianya adalah perkara benar yang diluahkan oleh klien saya sendiri, kita mestilah lebih tabah dan menunjukkan kekuatan untuk mendengarkan kisahnya lebih lanjut. Emosi yang terganggu akan mengakibatkan kegagalan kita untuk berfikir dengan idea yang lebih bernas. Saya juga tidak boleh menghalang Fatihah jika dia ingin menangis ketika sesi kaunseling kerana perasaan itu sudah lama terbuku di dalam hatinya. Saya perlu bersabar dan memberi sepenuh minat dan perhatian terhadap masalah yang dialami dan tidak sesekali beremosi bersama klien. Saya percaya yang Fatihah telah melakukan keputusan yang betul tetapi mungkin boleh diperbaiki lagi. Melalui pengetahuan dan kemahiran yang saya pelajari, pengalaman itu mendewasakan diri seseorang. Seperti diri Fatihah, dia tidak mudah dipengaruhi dengan kegiatan negatif dan masalah sosial walau sedikit pun kerana nilai agama dan penghayatan tentang islam itu telah meresap masuk terus kedalam dirinya. Jiwa yang memiliki iman tidak mudah goyah kecuali jika dia melihat maksiat. Itulah sebabnya seseorang yang dulu menghafal al-quran hendaklah dia meneruskan bacaan agar dia tidak lupa.


Abdullah bin Umar melaporkan, Nabi Muhammad menerangkan, “Orang yang menghafal al-Quran umpama seekor unta yang sedang ditambat. Sekiranya terus ditambat, ia tidak lari. Sekiranya tali penambat dilepaskan, unta itu pun lari”.- Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

              Itu adalah perbuatan yang terpuji. Ramai remaja perlu menjadikan Fatihah modal dan contoh untuk menempuhi dunia yang semakin mencabar ini. Lebih-lebih lagi penggunaan gajet moden seakan-akan disalahgunakan untuk perkara yang tidak berfaedah. Fatihah diuji oleh Allah dengan dugaan kekayaan yang banyak namun sedikit pun tidak terkesan dihati untuk riak dan takbur. Dia masih berpakaian sopan dan menutup aurat. Tudung dikepala labuh menutupi bahagian dadanya, penggunaan sarung tangan dan stokin untuk melindungi kulit bukan setakat panas daripada UV matahari tetapi juga daripada panas azab api neraka Allah yang kekal itu. Tiada siapa mampu menahan walaupun dengan hanya api dunia yang kecil ini. Wang ringgit digunakan untuk bersedekah antara saudara dan lebih elok jika ianya adalah saudara terdekat kita iaitu ibu, bapa, adik –beradik, nenek dan datuk. Kemunculan Fatihah telah membawa erti kehidupan yang gembira kepada diri Dollah. Fatihah telah banyak menolong orang tuanya itu walaupun hanya seketika.

Abdullah bin Umar melaporkan, Rasulullah menerangkan, “Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang muslim yang lain. Dia tidak boleh membuat zalim terhadapnya dan tidak boleh pula membiarkannya dizalimi orang. Sesiapa yang memenuhi hajat keperluan saudaranya, Allah memenuhi hajat keperluannya pula. Sesiapa yang membebaskannya dari satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan yang ada pada hari akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah menutup keburukannya pula pada hari kiamat.”- Direkod oleh Bukhari dan Muslim

             Pada pendapat saya tentang kisah Fatihah tadi itu, perkara yang perlu klien lakukan ialah dia boleh bawa Tok Mak berunding. Cari hari dimana datuknya itu terpisah dari hal pekerjaannya yang mungkin membebankan dirinya sendiri. Cuba berbincang dari hati ke hati kenapa datuknya itu suka membezakan antara orang kaya dengan orang miskin. Pada hakikatnya, kita semua adalah manusia yang sama. Semuanya akan meninggal dunia dan dikembalikan di tanah untuk dihadapkan kehadapan Pencipta. Meskipun harta melimpah- ruah namun semua itu tidak dapat menolong kita terlepas dari azab seksaan Allah. Sedangkan dalam islam tiada yang mengajar kita akan perbezaan kedudukan dan pangkat. Kita tidak ditanya siapa kita ketika di dunia? Sebab kita ini cumalah hambaNya yang tidak berdaya. Selain itu, klien boleh mengajak Tok Mak ke masjid atau pun melaksanakan solat berjemaah bersama-sama. Berusaha mendekatkan diri Tok Mak dengan tuhanNya dengan membaca Al-Quran. Mungkin dengan cara ini, hati Tok Mak dapat dilembutkan dengan ayat-ayat yang baik dan suci. Tidak lupa untuk membuat solat sunat Taubat kerana tuhan itu Maha Pengampun lagi maha Penyayang. Jika Tok Mak masih bekeras juga dengan keputusannya, klien mungkin akan menggugut datuknya supaya dapat berjumpa dengan Dollah. Klien mengatakan yang dia bakal lari daripada rumah dan tinggal dengan bapanya. Namun idea ini agak berisiko sebab hayat Dollah telah hampir ke penghujungnya. Kemungkinan besar Tok Mak pun turut tidak akan memaafkan diri Fatihah sebagai cucu kesayangannya itu. Jangan jadi seperti peribahasa ini ‘apa yang dikejar tidak dapat, apa yang dikendong berciciran’. Maka seandainya Tok Mak berubah fikiran setelah Fatihah menceritakan segalanya, Tok Mak memberi kebenaran kepada klien untuk berjumpa dengan bapanya untuk kali terakhir. Kita perlu ingat bahawa itu adalah kekuasaan yang Maha Esa, bukan kita yang mengubah hati sesorang.  Fatihah boleh membawa Tok Mak dan ayahnya keluar berjalan-jalan ataupun melakukan hobi yang segelintir masyarakat kita gemar lakukan iaitu memancing. Ikatan silatuturrahim juga dapat terjalin tanpa disedari kerana wujudnya persefahaman diantara manusia.



Jenis Kaunseling
Jenis kaunseling yang diperlukan oleh Fatihah ialah Kaunseling berkeluarga kerana masalah ini perlu diselesaikan diantara Tok Mak dengan Dollah.














No comments:

Post a Comment

Perumpamaan Dunia

Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan (dan berlayar) di lautan. Sehingga ketika kamu berada di dalam kapal, dan melunc...